CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, November 28, 2009

Belajar Dari Pengalaman

Assalamualaikum w.b.t,


Alhamdulillah, lautan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana kerana masih sudi mengekalkan saya dalam nikmat iman dan Islam ini. Sesungguhnya tidak ternilai anugerah ini. Lama tidak mencoret sesuatu di sini. Masih belum terlambat rasanya untuk mengucapkan salam eidul adha buat sahabat-sahabat pengunjung blog sekalian.

Syukur yang tidak terhingga juga buat Ilahi kerana memberi kesembuhan kepada nenek saya. Seminggu di hospital, akhirnya tengah hari tadi nenek dibenarkan pulang ke rumah. Alhamdulillah. Sepanjang seminggu nenek di hospital, saya berkesempatan untuk menjaga nenek semalaman di wad lantaran sepupu saya yang menjaganya diserang demam. Pertama kali menjaga nenek di wad, banyak sekali pengalaman dan pengajaran yang dapat saya kutip.

Saya belajar tentang keikhlasan ketika itu. Jika selama ini saya hanya belajar teori hukum semata-mata, kali ini saya merasai amalinya. Saya berfikir sejenak, bagaimana agaknya perasaan anak-anak yang menjaga ibu bapa mereka yang sakit? Jika sehari dua mungkin tidak begitu terasa, tetapi bagaimana jika Allah mentakdirkan kesakitan itu memakan masa berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun lamanya? Tambah-tambah jika ibu bapa telah berusia, tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri, memerlukan anak-anak cucu untuk membantu menjaga makan minum, memerhatikan kesihatan mereka, menukar lampin pakai buang, tegarkah kita melakukannya tanpa sedikit pun rasa terbeban? Terbayang bagaimana susah payah ibu melayan kerenah dan keperluan anak-anak yang masih kecil. Terbayang wajah ayah yang dibasahi keringat mencari rezeki yang halal untuk isteri dan anak-anak. Apakah kita berfikir, terbalaskah kita jasa mereka hanya dengan menjaga mereka ketika sakit begitu?? Rasa ingin menitis air mata mengingatkan perkara itu. Zaman ini, begitu mudah anak-anak melupakan jasa ibu bapa yang bersusah payah membesarkan diri.

Sempat menjenguk nenek yang bersebelahan dengan katil nenek, turut terkesan di hati. Tersentuh melihat suaminya yang setia menemani isteri yang terlantar sakit meskipun dia sendiri telah berusia benar. Nenek itu yang belum dapat dikenal pasti penyakitnya harus discan lagi minggu depan walaupun telah discan sebelum ini. Teringat lagi perbualan mereka berdua yang dapat saya tangkap dengar.

"Abah, minggu depan kena masuk kamera sekali lagi,kot hidung pulak. Hari tu bubuh kamera kot mulut."

"Tak pa la bubuh kot mana pun, asal nanti sihat. Boleh bangkit balik."

Setianya tok wan tu, malam itu beliau tidur di lantai di tepi katil nenek tersebut.
Moga Allah beri kesembuhan buat nenek Midah.

Terbayang anak-anak muda hari ini, ramai yang hanyut dibawa arus cinta. Tapi mampukah cinta itu bertahan dan terus mekar hingga ke lanjut usia seperti pasangan tok wan dan nenek tadi? Hakikatnya, kita perlu berpijak pada realiti, bukan impian dan angan-angan kosong semata-mata. Cinta sahaja tidak cukup untuk terus kekal, tetapi perlu kepada tanggungjawab dan saling menghormati untuk terus subur. Moga peristiwa yang dilihat mampu memberi 'ibrah kepada diri saya yang sering lalai ini.

Allahua'alam.






0 comments: