CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, February 26, 2010

Baiknya Rasulullah...


Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji dan puja buat Ilahi kerana dengan izinNya dapat lagi saya menghidup udara di bumiNya ini dengan dua nikmat terbesar iaitu nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam buat habibullah, Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat baginda. Hari ini, tanggal 12 Rabiulawal, sekali lagi kita menyambut hari maudidur rasul. Di sini saya kongsikan sebuah kisah yang menggambarkan betapa baik dan tingginya akhlak Rasulullah S.A.W yang sewajarnya kita ambil sebagai contoh untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian..

Suatu hari, Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Sesiapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira.

Hadiah itu dimakan oleh baginda Rasulullah SAW seulas demi seulas sambil tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat. Tidak kira sedikit atau banyak. Namun kali ini tidak. Tidak seulas pun diberikan kepada para sahabat. Rasulullah SAW terus makan sambil tersenyum, sehingga habis kesemua limau itu. Kemudian, wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari Rasulullah SAW.

Sahabat - sahabat agak kehairanan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan.

"Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada antara kalian yang akan mengenyet mata atau memarahi wanita berkenaan. Saya bimbang hatinya tersinggung. Sebab itu saya habiskan kesemuanya."

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya ditewaskan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Thursday, February 25, 2010

Berbeza Bijaksana



Suatu hari seorang profesor menyeberang sungai dengan sebuah sampan yang dikayuh oleh seorang pengayuh sampan. Di tengah-tengah sungai, profesor bertanya: "Kau pandai menulis dan membaca?"

"Tidak. Saya buta huruf", jawab pengayuh sampan.

"Kalau begitu, kamu sudah hilang separuh daripada kehidupan kamu. Orang yang tidak pandai menulis dan membaca seolah-olah hilang separuh keupayaan untuk hidup."

Tidak lama selepas itu, profesor bertanya lagi: "Kamu ada membuat simpanan wang di bank?"

"Tidak, pendapatan saya hanya cukup-cukup makan."

"Kalau begitu, kamu hilang separuh lagi daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang dengan tiada wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti."

Sampan terus bergerak.

Tiba-tiba sampan itu bocor. Air masuk dengan banyaknya dan sampan hampir tenggelam. Si pengayuh sampan bertanya kepada profesor: "Tuan, apakah tuan pandai berenang?"


"Err, err.. saya tidak tahu," jawab profesor panik. "Kalau begitu tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!"

Pengajaran: Tuhan tidak menciptakan manusia bodoh. Sebaliknya, Tuhan menciptakan manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza. Setiap kita mesti mengenal di mana kebijaksanaan itu dan meningkatkannya ke tahap maksimum. Jangan rasa hina diri sebaliknya binalah keyakinan diri. Allah ciptakan setiap manusia untuk berjaya.

Friday, February 19, 2010

Siapa yang Kaya?

Assalamualaikum w.b.t,

Subhanallah, walhamdulillah, wala ilaha illaLlah.. Syukur buat Khaliq kerana masih sudi memberi saya kesempatan untuk mengemaskini blog ini. Malu melihat blog sendiri terabai, sehingga bersawang tanpa update. Memulakan langkah semula, jom saya kongsikan sebuah kisah...





Seorang hartawan membawa anaknya menginap di sebuah rumah milik seorang kenalannya yang miskin. Dia berharap anaknya akan sedar akan kekayaan yang mereka miliki. Setelah tiga hari di rumah si miskin, mereka pun pulang. Dalam perjalanan si ayah bertanya: "Apa pandangan kamu tentang kembara kita?"

"Seronok!" jawab anaknya ceria.

"Sekarang, mesti kamu dapat bandingkan hidup sebagai orang kaya dengan orang miskin bukan?"

"Ya," jawab anaknya ceria.


"Nah, sekarang apa yang kamu belajar daripada semua ini?"


Si anak menjawab: "Kita mempunyai seekor kucing peliharaan, tetapi mereka ada banyak kucing yang mereka beri makan. Kita ada kolam renang, tetapi mereka ada sungai yang jernih dan mengalir airnya untuk mereka mandi. Kita ada lampu import yang mahal harganya, tetapi mereka ada bintang-bintang bergemerlapan di langit yang mereka pandang waktu santai di halaman rumah pada malam hari..."


Si ayah ingin menyampuk, namun si anak meneruskan, "Kita ada jalan berturap tetapi mereka ada padang hijau yang saujana mata memandang. Kita seronok menyuruh orang gaji membuat itu dan ini untuk kita, mereka pula ceria ketika berkhidmat dan memberi pertolongan kepada orang lain. Kita ada banyak makanan, tetapi mereka menghasilkan makanan. Kita ada jaga yang menjaga harta kekayaan kita... tetapi mereka mempunyai ramai sahabat setia yang sentiasa melindungi mereka."


Si ayah tambah terdiam apabila anaknya menambah: "Terima kasih ayah kerana menyedarkan betapa kayanya mereka dan betapa miskinnya kita!"


Pengajaran : Kekayaan sebenar letaknya di hati yang bersyukur dan redha. Bukan kerana apa yang kita miliki tetapi kerana apa yang kita beri. Untuk mencapai kesenangan, kita perlu memiliki. Tetapi untuk mencapai ketenangan, kita perlu memberi. Memberi lebih gembira daripada menerima. Allahu'alam =)